Monday, January 13, 2014

Hakisan Tanih

Pengenalan

Hakisan tanih merupakan salah satu daripada proses geomorfologi. Hakisan sering berlaku di kawasan yang terdedah kepada faktor iklim seperti hujan. Hakisan tanih boleh ditakrifkan sebagai sesuatu proses peleraian kumin-kumin tanih kesan daripada agen-agen hakisan tanih iaitu tindakan air hujan, tindakan haiwan, tumbuhan dan faktor antopogenik.  

Mekanisma Proses Hakisan Tanih

         Proses hakisan tanih melibatkan dua tindakan yang berlaku secara berurutan. Dua tindakan ini ialah peleraian kumin-kumin tanih dan pengangkutan kumin-kumin tanih. Kedua-dua tindakan ini dibantu oleh dua agen, iaitu titisan air hujan yang bertindak meleraikan kumin-kumin tanih dan aliran air permukaan yang mengangkut kumin-kumin tanih.

          Proses hakisan tanih bermula dengan kejadian hakisan percikan diikuti oleh hakisan permukaan, hakisan galir dan hakisan galur. Setiap kejadian hakisan itu pula dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu. Secara ringkasnya, kejadian hakisan percikan sangat dipengaruhi oleh faktor hujan (erosiviti) dan faktor tanih (erodibiliti). Keberkesanan hakisan permukaan pula (termasuk hakisan galir dan hakisan galur) lebih bergantung kepada faktor aliran air permukaan. Manakala faktor litupan tumbuhan, keadaan topografi dan amalan guna tanah menyokong secara tidak langsung dari segi kelancaran faktor hujan, tanih dan aliran air untuk bertindak ke atas permukaan tanih.

          Selain itu, faktor erosiviti hujan dan erodibiliti tanih akan mempengaruhi keberkesanan aliran air di permukaan tanih. Ini bermakna, ketiga-tiga faktor tersebut merupakan pembolehubah bebas yang tidak dapat dikawal. Faktor topografi, litupan tumbuhan dan amalan guna tanah juga adalah pembolehubah bebas tetapi faktor-faktor ini merupakan faktor yang boleh dikawal. 

Fenomena Hakisan Tanih

         Terdapat dua kategori kejadian hakisan tanih, iaitu hakisan tanih semula jadi dan hakisan tanih yang disebabkan oleh ganguan manusia (faktor antropogenik). Dari segi kejadian, kedua-dua kategori hakisan tanih itu masih terikat kepada faktor-faktor yang sama. Apa yang berbeza  ialah kadar hakisan tanih di mana hakisan tanih akibat ganguan manusia biasanya lebih hebat berbanding dengan hakisan tanih secara semula jadi.

          Kedua-dua jenis hakisan tanih, sama ada secara semula jadi mahupun akibat gangguan manusia, boleh mendatangkan risiko bencana. Dalam hal ini , menurut Smith (1965), memberi panduan  dalam menentukan hakisan tanih yang boleh diizinkan setelah mengambil kira proses pembentukan tanih dan pemuliharaan ke atas ksuburan tanah. Terdapat  empat parameter yang dijadikan asas panduan, iaitu stok tanih sebenar, sifat asas yang diperlukan oleh tanih, data kehilangan tanih yang dijangka dan data pemebentukan tanih pada masa hadapan. Berdasarkan parameter-parameter itu, beliau merumuskan bahawa nilai minima hakisan yang diizinkan adalah dalam julat 1.24 hingga 14.84 tan per hektar per tahun.

        Selain dari Smith, Zachor (1982) pula mengemukakan lima jenis klasifikasi hakisan permukaan dengan mengambil kira kadar  kerosakan dan kemusnahan mantel tanih yang boleh berlaku.  Perkiraan beliau ke atas lima jenis kelas itu adalah angka yang kurang daripada nilai yang diberikan  dianggap sebagai hakisan normal dan tidak mendatangkan mudarat ke atas persekitaran. Lima kelas hakisan permukaan yang dikemukakan oleh Zachor adalah:

  1. Hakisan lemah
  2. Hakisan sederhana
  3. Hakisan serius
  4. Hakisan kuat
  5. Hakisan bencana

3 comments: